Kamis, 08 November 2012

ISLAM agama benar, Islam agama baik, Islam agama kuat, Islam agama yang mampu menegak keadilan dan memberi kesejahteraan kepada seluruh umat manusia sejagat.
Kata-kata ini benar dan selaras dengan firman dan sabda yang ada dalam al-Quran dan hadis.
Tetapi malangnya orang yang berkata demikian tidak dapat memahami maksud kebenaran dan kebaikan yang ada pada Islam, bahkan tidak mampu menghayatinya.
Walaupun kata-kata itu mampu meniup dan menyemarakkan semangat dan emosi di kalangan pendengar, juga berupaya mengapi dan menyemarakkan histeria dalam diri mereka yang berada dalam majlis yang berkenaan, tetapi tidak ada apa-apa ilmu yang boleh dijadikan mutiara yang layak disematkan di dada selain daripada perasaan benci dan marah kepada pihak lain yang juga beragama Islam.
Bagaimana hendak membuktikan kebenaran dan kebaikan itu sedangkan umat Islam rata-ratanya lemah dan mundur? Bahkan di akhir-akhir ini mereka ditimpa kehinaan dan kecelaan yang amat memalukan.
Tragedi yang berlaku di Iraq baru-baru ini dan di Afghanistan sebelum itu adalah bukti yang nyata. Rakyatnya disembelih dan dibunuh sewenang-wenangnya oleh kuasa asing tanpa ada penolong yang dapat mencegah kezaliman dan kekejaman itu.
Islam sebagaimana agama-agama lain juga tidak dapat dipisahkan dengan penganut-penganutnya, kerana ia diturunkan kepada manusia, tidak kepada binatang atau kepada bukit dan gunung. Adanya agama itu adalah disebabkan ada penganutnya.
Oleh yang demikian kebenaran dan kebaikan sesuatu agama itu lazimnya diukur dan dinilai dengan kekuatan dan kelemahan penganut-penganutnya.
Kebenaran dan kebaikan Islam itu memang diterima dan diakui oleh semua umat Islam kerana ia adalah agama Allah. Tidak wajar mana-mana pihak yang menuduh pihak yang lain sesama Islam yang tidak mengiktiraf demikian. Tetapi kebenaran dan kebaikan itu tidak mungkin dapat dibuktikan selama umat Islam sendiri tidak dapat menjadi cermin kepada kebenaran dan kebaikan agama yang dianutinya.
Hari ini kebanyakan umat Islam hanya pandai bercakap tentang kebenaran dan kebaikan Islam, tetapi yang bercakap itu sendiri tidak mampu membuktikan kepada masyarakat tentang kebaikan itu. Akhirnya mereka terpaksa meletakkan Islam dan umatnya secara berasingan dengan dakwaan bahawa Islam tiada kena-mengena dengan kemunduran umatnya.
Hal inilah yang dilihat oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menulis buku Menghadapi Cabaran sekitar tahun awal 1970-an dulu. Beliau melihat Islam sebagai ad-Din yang kamil, syumul dan mencakupi segala bidang hidup. Masalahnya bagaimana kesyumulan itu dapat dizahirkan kepada masyarakat umum, khususnya golongan yang bukan beragama Islam.
Golongan ilmuwan
Islam agama ilmu pengetahuan. Ayat pertama diturunkan Allah kepada nabi ialah ayat yang mencabar fikiran berhubung dengan kejadian manusia. Tetapi mengapa rata-rata umat Islam jahil dan tidak ramai di kalangan mereka yang berprofesional. Jika demikian bagaimana untuk meramaikan golongan ilmuwan di kalangan umat Islam?
Islam agama penyatuan dan perpaduan, tugas pertama nabi. Ketika mula tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah, tugas pertama baginda ialah menyatukan kabilah Aus dengan Khazraj dan orang Ansar dengan Muhajirin.
Tetapi mengapa di kalangan umat Islam berlaku perbalahan dan perseteruan sesama mereka? Bagaimana pula untuk memastikan penyatuan yang kukuh di kalangan mereka? Islam agama menjamin kebahagiaan, tetapi umatnya menderita di mana-mana. Bagaimana penyelesaian penderitaan itu dan memastikan pencapaian kebahagiaan.
Kata Dr. Mahathir, kita tidak seharusnya terbawa-bawa kepada suatu sikap yang melihat Islam dengan segala ideal dan misalinya, kemudian apabila ternyata umat Islam itu tidak sampai kepada tahap kemuncak yang berkenaan, maka dihukumnya umat Islam yang berkenaan tidak Islam lagi.
Hari ini sebut saja Islam maka tergambar dalam kepala bahawa umatnya lemah, mundur, miskin, jahil, malas dan sebagainya. Kehidupan mereka menumpang kasih kepada golongan bukan Islam. Sedangkan Islam menurut ajarannya bahawa orang Islam itu adalah penyelamat umat. Yang miskin dikayakan, yang jahil diilmukan, yang malas dirajinkan, yang kurang dipercukupkan dan sebagainya.
Kenyataan yang ada bahawa agama Islam tidak mampu digunakan untuk memberi kesan atau tidak dijadikan faktor yang boleh mempengaruhi pembangunan sosial masyarakat. Walaupun ajaran Islam meliputi semua bidang, tetapi umat Islam, utamanya pemimpin-pemimpin dan ulama mereka, tidak mengambil kesempatan menggunakan ajaran itu bagi mengubah dan membetulkan sikap umatnya ke arah pengukuhan hidup mereka.
Forum-forum agama, kuliah agama, mimbar Jumaat dan sebagainya jarang kedengaran suara-suara yang mencabar daya fikir dan daya tahan umat. Tidak ada saranan dan gesaan rajin bekerja, berusaha menuntut ilmu dan sebagainya. Tetapi yang menjadi kesukaan mereka lebih banyak menghukum, mengeluarkan fatwa yang negatif, menimbulkan perasaan marah dan tidak senang hati rakyat kepada sesama Islam.
Kelemahan yang nyata di kalangan kita hari ini ialah tidak bersedia membaca suasana yang ada dan tidak mahu memahami sebab-musabab kejayaan orang lain. Di kalangan sebilangan pemimpin dan ulama pula lebih berminat berorganisasi secara mensemboyan dan melogokan Islam dan lebih terdorong kepada melabelkan orang lain sebagai kufur dan syirik. Apakah kita mengharapkan pertolongan daripada langit dalam usaha kita hendak memperoleh dan memenangi kekuatan itu, lalu kita terus-menerus sembahyang hajat dan munajat saja untuk menyelesaikan masalah kelemahan dan kemunduran kita? Tidak mungkin begitu, kerana para nabi pun tidak pernah begitu melainkan setelah dilakukan berbagai-bagai usaha dan kerja.
Ertinya syarat dan rukun utama dalam pencapaian kejayaan dan kemenangan itu adalah bekerja dan berusaha. Orang yang cuma tahu bercakap, tetapi tidak tahu bekerja, mereka termasuk dalam golongan yang disebut oleh al-Quran (as-Saf 2) yang bermaksud Wahai orang yang beriman. Mengapa kamu berkata sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sungguh besar dosanya di sisi Allah bagi kamu yang berkata perkara yang kamu tidak buat. Orang yang rajin bekerja dan berusaha berada dalam golongan yang disebutkan (at-Taubah 105) Dan hendaklah kamu bekerja. Sesungguhnya Allah, rasul dan umat Islam semuanya akan menyaksikan kerja buat kamu.
Allah juga telah menegaskan (ar-Rakdu 11) bahawa Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri mengubahnya.
Kehinaan dan celaan yang sungguh aib yang ditanggung oleh umat Islam hari ini kerana mereka belum bercadang untuk berusaha ke arah perubahan sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Mereka tidak tahu membaca tuntutan semasa dan tidak bersedia untuk mengetahuinya kerana dianggap kononnya di luar budaya Islam.
Mereka tidak mahu memahami apa yang dimaksudkan oleh Allah (al-Anfal 60) Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka apa saja kekuatan yang kamu sanggup dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu dan orang-orang selain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya.
Hari ini kekuatan kuda sudah tidak digunakan lagi, kerana telah diganti oleh kekuatan teknologi baru. Allah menyebut perkataan kuda pun bukanlah bermaksud hakiki, tetapi untuk menonjolkan simbol kekuatan dan lambang kemegahan pada waktu itu. Orang Islam adalah dikehendaki membina kekuatan mereka menurut peredaran masa dan mengikut tuntutan setempat.
Jika ini dapat disempurnakan maka ketika inilah mereka dapat dibuktikan bahawa Islam itu adalah agama benar dan baik yang datang dari Allah untuk kesejahteraan umat manusia.
Oleh Datuk Dusuki Ahmad (Pengerusi Amanah Raya Berhad)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar